Pada hari Sabtu lepas, saya telah menyertai perhimpunan Freedom for Palestine anjuran Viva Palestina Malaysia dan MyCare. Suasana hari tersebut mengingatkan saya kepada perhimpunan Bersih yang menjadi pencetus kesedaran politik saya pada zaman universiti. Semasa saya berada di LRT, ada seorang mak cik yang memberi saya lencana Free Palestine. Saya dan kawan-kawan juga dihadiahi dengan kraftangan dengan warna bendera Palestin dan sehelai bendera Palestin oleh peserta lain semasa di Dataran Merdeka. Semangat solidariti dan keakrabaan yang tidak mengira bangsa dan agama nyata antara semua peserta.
Di sini, pihak penganjur telah berjaya dalam matlamat mereka untuk mencipta suasana yang mengalu-alukan penglibatan pelbagai orang. Pengucap yang dipilih datang dari pelbagai latar belakang dan ada juga yang berucap sedikit dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin. Paling penting, ada juga pengucap warga Palestin.
Walaubagaimanapun, suasana hari itu mengingatkan saya kepada zaman sekolah, dimana Dataran Merdeka berfungsi sebagai dewan sekolah dan pihak penganjur memainkan peranan sebagai cikgu disiplin pula. Sesiapa yang kerap turun ke demo mesti tahu bahawa setiap protes ada unsur yang tidak dapat diramalkan walaupun ada garis panduan yang diterbitkan. Tetapi jelas bahawa pihak penganjur mungkin tidak biasanya turun ke jalan raya. Laungan yang mereka memulakan memang kekok dari segi irama. Contohnya, seperti Stop/stop/THE/genocide dan bukan Stop/Stop/Genocide.
Semasa Dr Musa berucap, ada orang yang ingin menjerit “Free Palestine!”. Sebenarnya, kami di belakang padang tidak memberi perhatian sangat kepada semua ucapan di pentas (yang menambahkan lagi suasana ceramah). Tetapi kami boleh mendengar “cikgu disiplin” memarahi orang yang memulakan laungan “Free Palestine” tersebut.
Pada ketika itu, kami tidak mementingkan kejadian itu sebab kami berada di belakang dan boleh berjalan-jalan untuk melihat semua plakad yang dibawa oleh peserta lain. Selepas seminggu membaca tentang penderitaan yang berterusan rakyat Gaza, kami berasa gembira melihat orang ramai yang ingin bersolidariti dengan Palestin. Apabila kami meninggalkan perhimpunan itu, hati saya lega sedikit kerana saya tidak lagi berasa berseorangan, tetapi sebahagian daripada satu pergerakan yang lebih besar dalam perjuangan untuk kebebasan Palestin.
Malangnya, kelegaan itu tidak kekal. Beberapa jam selepas perhimpunan itu, saya membaca berita bahawa beberapa peserta tidak dibenarkan menyertai Freedom for Palestine di atas sebab plakad mereka terlalu “ganas”. Salah satu daripada plakad yang “ganas” itu memanggil Benjamin Netanyahu seorang penjenayah perang dan menggambarkan dia sebagai setan. Pihak penganjur menekankan bahawa perhimpunan tersebut adalah aman, dan di atas sebab itu mereka melarang plakad tersebut.
Pada saya, memang tidak salah untuk gunakan plakad seperti itu. Benjamin Netanyahu memang adalah seorang penjenayah perang. Apa salahnya untuk menyatakan fakta? Penekanan terhadap sifat “aman” perhimpunan itu mengingatkan saya kepada klip daripada filem Tell Me Lies (1968) yang sedang viral di media sosial. Dalam klip tersebut, Kwame Ture, seorang aktivis hak sivil Amerika Syarikat menerangkan bezanya antara keamanan dan kemerdekaan. “Kamu boleh ada ketidakadilan dan keamanan [pada masa yang sama], betul atau tidak?”
Tetapi yang lagi dikesali adalah berita bahawa sekumpulan warga Palestin diugut dengan tindakan polis dan imigresen oleh pengawal keselamatan kerana mencelah ucapan-ucapan. Saya tidak pasti jika mereka adalah orang yang melaung “Free Palestine” semasa Dr Musa mengucap. Tetapi pedihnya ironi bahawa orang Palestin tidak dibenarkan melaung “Free Palestine” di perhimpunan Freedom for Palestine. Sebaliknya, mereka diugut untuk dihantar balik ke tempat di mana warga Palestin yang lain sedang menderita di bawah kekejaman tentera Israel. Dahsyat!
Malangnya, sikap seperti ini memang biasa di Malaysia. Kami hanya ingin bersolidariti dengan warga Palestin dari segi abstrak. Kami tidak ingin memberikan pelarian Palestin di Malaysia hak untuk berkerja, belajar di sekolah, ataupun untuk membuka akaun bank. Dan celakalah mana-mana warga Palestin yang berani mengkritik status quo hak pelarian di Malaysia, ataupun cara Malaysia “bersolidariti” dengan Palestin.
Saya menggunakan tanda petikan ini sebab adakah kami betul-betul bersolidariti jika apa-apa kritikan (yang sah) oleh komuniti yang terjejas memadamkan rasa belas kasihan dan solidariti dalam hati kami? Contoh terbaru perangai ini adalah apabila Dr Muslim Imran, pengarah pengasas Asia Middle East Center (AMEC), memberi analisis dia bahawa Anwar Ibrahim sebagai negarawan berpengaruh di Timur Tengah boleh membuat lebih banyak dari segi dasar luar untuk memajukan perjuangan Palestin. Dr Muslim terpaksa keluarkan pembetulan di media sosialnya kerana dikecam di atas kenyataannnya. Pada masa sekarang pembetulan itu pun telah dipadam, kemungkinan besar kerana ia hanya menghasilkan lebih banyak kecaman dari pengguna media sosial di Malaysia.
Mari kembali ke perhimpunan Freedom for Palestine. Selepas perhimpunan itu tamat dan berita tentang insiden-insiden yang disebut di atas diterbitkan, banyak orang memperlekehkan perhimpunan tersebut. Tambahan kepada insiden yang diperincikan di atas, ada juga orang yang kecewa dan marah dengan larangan untuk bertakbir. Malah, pihak yang tidak puas hati dengan perhimpunan Freedom for Palestine menuntut Perdana Menteri untuk menganjurkan perhimpunan yang lebih “berapi”.
Akhirnya, kerajaan telah menganjurkan Himpunan Malaysia Bersama Palestin pada 24 Oktober. Aturcara itu termasuk 20 ucapan pimpinan sebelum ketibaan Perdana Menteri yang berlangsung serentak dengan persembahan Siti Nurhaliza. Berapinya!
Semasa Himpunan Malaysia Bersama Palestin, Perdana Menteri meneguhkan sokongan beliau untuk perjuangan Palestin walaupun menerima kritikan daripada “beberapa kalangan dari Amerika Syarikat, Eropah dan Israel.” Saya sokong pendirian ini, tetapi apa yang dibuat dari segi dasar luar untuk menyokong Palestin?
Walaupun pasport Malaysia tidak membenarkan warga Malaysia untuk mengembara ke Israel, Malaysia menerima import bernilai jutaan dolar dari negara tersebut. Pada 2022, Malaysia telah menerima US$74.41 juta import daripada Israel. Perdagangan antara Malaysia dan Israel bukan benda yang baru. Pada tahun 2013, import Israel ke Malaysia secara senyap-senyap bernilai US$ 1.457 bilion.
Salah satu taktik untuk membebaskan Palestin yang digalakkan oleh rangkain solidariti antarabangsa Palestin adalah gerakan Boycott, Divest & Sanction (BDS) untuk memberi impak kewangan terhadap negara Israel. Taktik ini pernah digunakan untuk menentang aparteid di Afrika Selatan. Mengapakah kita tidak menyokong BDS dengan penghentian import daripada Israel?
Ada banyak lagi yang kita boleh membuat secara konkrit untuk menyokong Palestin, dan saya berharap kita akan menuju ke arah solidariti yang kukuh dan bermakna. Kalau tidak, kita harus bertanya: sebenarnya, untuk siapa kami berhimpun?